Monday 9 November 2015

Kenali Diriku

          Nama diberi, Nur Munirah Binti Mazzuki yang membawa maksud cahaya yang bersinar (menerangi). Saya berusia 21 tahun dan merupakan salah seorang mahasiswi Kolej Teknologi Alpha jurusan Sarjana Muda Komunikasi (UUM). Dilahirkan di Hospital Pusrawi Kuala Lumpur pada 19 Jun 1994 dan menetap serta dibesarkan di Sentul, Kuala Lumpur. Saya merupakan salah seorang anak kepada Mazzuki Bin Mat Dom dan Nor Aishah Binti Mat Saad. Saya telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul dan Sekolah Rendah Agama Sentul Pasar. Seterusnya, saya ditawarkan untuk menyambung pengajian di salah sebuah asrama harian di Kuala Lumpur iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Ali untuk menengah atas dan menamatkan SPM dengan keputusan yang memberangsangkan.
            Alhamdulillah saya dikurniakan sebuah keluarga yang bahagia. Saya amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana telah melengkapkan kehidupan saya dengan kehadiran insan yang bergelar keluarga. Saya merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik perempuan. Ayah dan ibu yang saya gelarkan sebagai Mama dan Papa merupakan antara individu yang amat saya sayangi dan hormati sepanjang hidup saya. Mereka merupakan individu yang sanggup melayan kerenah saya serta tidak pernah jemu untuk menasihati serta mendoakan kejayaan saya di dunia dan akhirat.
            Saya mempunyai dua orang adik perempuan iaitu masing-masing berusia 17 tahun dan 12 tahun. Kami telah diberi didikan yang baik oleh kedua ibu bapa kami. Walaupun saya jarang berada dirumah kerana kekangan masa dan tempat belajar yang agak jauh dari rumah; Namun kami sekeluarga sangat rapat. Sekiranya ada masa terluang, kami akan melancong dan bercuti bersama. Mama adalah tempat untuk bercerita dan mengadu manakala, papa pula menjadi teman untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran. Adik-adik pula menjadi rakan berbual.

            Saya merupakan seorang individu yang tidak kenal erti putus asa. Saya yakin bahawa saya akan dapat melakukan yang terbaik dalam apa jua tugas yang dilakukan sekiranya setiap tugasan dilaksanakan dengan cara yang betul dan disertai dengan usaha yang gigih. Selain itu, doa dari insan tersayang turut menjadi pendorong sesebuah kejayaan. Saya mempunyai pegangan bahawa setiap usaha yang disulami dengan doa dan iltizam yang tinggi akan membuahkan hasil dengan izin-Nya. Insya Allah.

No comments:

Post a Comment