Monday 9 November 2015

Penyakit Mental

      


         Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi. Penyakit mental bukanlah hanya sejenis penyakit sahaja. Ia terdiri dari berbagai kategori penyakit. Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan utama iaitu Neurosis, Schizophrenia dan kecelarauan personaliti.
       Mereka yang tergolong di dalam kumpulan neurosis lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka. Selain itu, individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar akan keadaan kesihatan mereka. Fungsi harian mereka mungkin terganggu sedikit. Antara contoh penyakit neurosis adalah seperti kemurungan dan kebimbangan.
            Namun begitu, bagi mereka yang mengalami penyakit psikosis, mereka mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas. Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan. Ia dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah mereka merasakan seakan-akan ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan.
            Secara asasnya, kecelarauan personaliti membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.
            Namun begitu, dengan adanya kemajuan dalam bidang perubatan moden, masalah mental boleh dirawat. Kini, terdapat banyak penemuan ubat-ubat yang lebih berkesan di dalam merawat penyakit mental. Hampir semua ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental mengambil masa sebelum kesan positifnya boleh dilihat. Kesabaran meneruskan pengambilan ubat secara konsisten amat digalakkan. Selain ubat psikotropik pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.



No comments:

Post a Comment